Monday, 2 March 2015
Isteri bukan lah seorang orang gaji atau hamba abdi.
Seawal pukul lima pagi, Zahara bangun dan terus mengerjakan pekerjaan rumah. Memasak untuk suami dan anak-anak, menyapu dan mengelap lantai, mencuci pakaian sambil menjaga dua orang anaknya yang belum bersekolah. Amin dan Aminah yang comel berumur tiga dan satu tahun.
Tujuh orang anak mesti diuruskan setiap hari, suami pula mana boleh tolong Zahara mengerjakan tugasnya itu, Sulaiman terlalu sibuk mengejar penumpang kerana teksi yang dibawanya mesti membawa wang yang cukup untuk menafkahi keluarga. Masing-masing tahu tanggungjawab dan peranan dalam keluarga, tiada rungutan dan saling reda dengan keadaan pasangan.
Kadang-kadang, apabila isterinya tertekan, suka marah-marah atau tiba-tiba datang kemurungannya, Sulaiman menahan diri untuk tidak mengambil kisah tentang kekurangan isterinya itu. Begitu juga Zahara sentiasa ‘cool down’ jika suami bermasalah, cerewet, kasar dan pulang tidak membawa wang yang cukup. Mereka telah melalui pahit getir berumahtangga selama dua puluh tahun, kepercayaan dan kasih sayang yang telah dibina adalah perjuangan yang masih belum selesai. Sampai bila mereka akan berkorban? Hingga Allah Taala menentukan adakah berbaloi sejuta pengorbanan itu dengan syurga dunia dan akhirat.
Kadang-kadang orang yang lebih susah hidupnya daripada kita boleh lebih sabar dan reda. Jika anda cuba bandingkan sebagai suami isteri yang berpendapatan lebih dari lima atau sepuluh ribu sebulan, apakah perbezaannya dengan Zahara dan suaminya yang hidup serba kekurangan? Mungkin suami anda terlebih cerewet kerana semua telah diuruskan orang gaji, anda pula tidak mahu merendahkan status sebagai cik puan yang bergaji besar dengan mengerjakan pekerjaan rumahtangga yang mendatangkan bau badan tak sedap. Percuma saja terapi spa yang dibayar sebanyak gaji bibik sebulan. Anda rasa rugi menguruskan rumahtangga yang melelahkan itu. Kalau semua boleh diserahkan kepada bibik, apakah hati dan perasaan anak-anak anda juga mesti dikorbankan?
Seorang ibu tidak boleh melupakan tugasnya menjaga dan mengurus rumahtangga, walau siapapun dia dan apapun pangkatnya, anda tetap surirumah yang berkhidmat untuk suami dan anak-anak. Tetapi masalahnya ramai wanita berkerjaya yang tidak mempunyai orang gaji merungut apabila pulang ke rumah dan mendapati keadaan yang merimaskan. Baju kotor berlonggok, sampah bekas makan dan minum anak-anak bersepah di sana-sini. Lantai yang melekit bila dipijak, peti ais yang berbau tak sedap. Jeritan lapar dan haus anak-anak, suami pula minta dilayan cepat-cepat. Padahal isteri tak sempat bertukar pakaian, belum sempat berehat, sentiasa rasa terkejar-kejar dengan masa yang singkat. Anda merasai ‘kegilaan’ ini setiap hari? Jangan jadi gila kerana tertekan, marah dan benci dengan tugas anda di rumah. Kerana keletihan itu dibalas seumpama pahala berjihad di jalan Allah.
Begitu besarkah pahala seorang isteri yang bersusah payah menguruskan anak-anak dan suami? Ya, anda boleh bayangkan bagaimana jika anda merajuk tidak mahu melakukan kerja rumahtangga. Berapa nyawa akan terkorban, berapa jiwa akan tertekan dan berapa banyak tubuh badan yang sakit? Masa depan siapa akan musnah jika anda lari dari tanggungjawab? Siapakah yang akan mengalami ketidakstabilan emosi bahkan kerosakan rohani jika seorang ibu tidak mendidik anaknya dengan agama? Siapa yang boleh meruntuhkan rumahtangga jika anda tidak mahu menyentuhnya dengan kasih sayang? Syurga isteri berada di rumahnya, itulah amalan yang paling berat timbangannya di akhirat nanti.
Sesungguhnya setiap titisan peluh yang mengalir anggaplah seperti mataair jernih dan sejuk yang berbau harum mewangi di syurga firdausi. Air itulah yang akan membersihkan jasad anda kerana reda dan taat kepada suami. Bayangkanlah airmata yang jatuh ke pipi akan berubah menjadi permata-permata hijau yang paling bernilai pemberianYang Maha Kaya kerana kesabaran dan keredaan anda sebagai seorang ibu. Jika ditakdirkan jiwa dan raga terkorban kerana menyayangi suami dan anak-anak, itulah puncak ibadah yang telah berhasil anda daki hingga ke hujungnya.
Tahukah anda bahawa anak perempuan Rasulullah SAW juga mengalami kesusahan sepertimana ibu-ibu rumahtangga pada kebiasaannya. Ali bin Abu Talib RA berkata: ”Fatimah binti Rasulullah SAW hidup bersamaku. Dia menggiling gandum hingga membekas di tangannya, juga mengangkat air hingga membekas di lehernya dan menyapu lantai hingga berdebu bajunya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Suatu hari Fatimah RA datang ke rumah Rasulullah SAW ingin menunjukkan bekas luka di tangannya akibat menggiling biji gandum. Sebelum itu Fatimah RA mendapat berita bahawa Nabi SAW memperoleh seorang hamba, tetapi beliau tidak jadi berjumpa dengan ayahandanya. Maksud hatinya telah disampaikan kepada Aisyah RA. Hinggalah Rasulullah SAW sendiri datang ke rumah mereka saat mereka berdua sedang berbaring, Maka cepat-cepat mereka berdiri, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Tetaplah di tempat tidurmu. Kemudian baginda duduk di antara kami hingga sejuk tapak kaki baginda terasa di perutku. Kemudian baginda bersabda: ”Dengarlah! Aku tunjukkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta. Apabila hendak tidur bertasbihlah 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali, hal itu lebih baik bagi kamu daripada memiliki seorang hamba (pembantu).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Aisyah RA, Baginda SAW pernah bertanya kepada Fatimah RA yang bermaksud: ”Mahukah kamu menjadi pemimpin wanita di syurga?” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sesungguhnya kerja-kerja rumahtangga adalah ibadat yang besar pahalanya bagi seorang isteri, tetapi jangan pula suami mengambil kesempatan dengan meletakkan seluruh beban kerja itu di atas bahu isteri. Rasulullah SAW telah memberi teladan yang baik untuk para suami. Menurut keterangan isteri baginda Aisyah RA, beliau berkata: ”Di rumahnya, Rasulullah SAW membantu isterinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment