Letak jawatan: Hisham setuju tapi bersyarat
Shah Alam – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan persetujuan bersyarat atas desakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta anggota Kabinet meletak jawatan sekiranya tidak bersamanya untuk pemulihan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Memetik kenyataan di laman mikro Twitternya, Hishammuddin berkata, badan pelaburan itu mesti menjalani proses rasionalisasi dan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan salah laku perlu diambil tindakan.
Tambah Hishammuddin lagi, proses rasionalisasi berkenaan mesti dilakukan secara telus.
“Setuju dengan syarat. Yang pertama, rasionalisasi 1MDB. Yang kedua akauntabiliti sekiranya ada salah. Yang ketiga ketelusan,” tulisnya.
Najib hari ini dilapor sebuah akhbar tempatan mengeluarkan kenyataan meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB supaya meletakkan jawatan.
Kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.
“Perdana Menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian (menyatakan tidak bersama),” katanya seperti dipetik menerusi laporan tersebut, Sumber - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment