Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi melahirkan keterujaannya terhadap pemanduan Pengerusi Eksekutif Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu beliau berkunjung ke Proton sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Dalam kunjungan pertamanya ke negara ini, Jokowi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Proton dan PT Adiperkasa Lestari. Menerusi MoU itu, Proton bakal membantu Indonesia dalam menghasilkan kereta nasional milik republik itu.
Jokowi juga dibawa melawat ke sekitar kawasan kilang Proton di mana selain diberi taklimat, beliau melihat sendiri kehebatan teknologi R&D serta kepakaran syarikat pengeluar kereta tempatan yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Paling menarik apabila Jokowi merasai pengalaman manaiki salah sebuah kereta terbaru keluaran Proton iaitu Proton Iriz yang dipandu sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Proton yang juga mantan Perdana Menteri Tun Mahathir di litar pandu uji Proton.
Selesai sesi pandu uji, Presiden Indonesia itu memberikan reaksi positif tentang kehebatan model terbaharu Proton malah berkongsi keterujaan beliau terhadap pemanduan Dr. Mahathir yang dikhabarkan memandu pada kelajuan 150km/j.