Ada keajaiban, kata doktor rawat Nik Aziz
Doktor yang merawat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menceritakan terdapat beberapa keajaiban berlaku semasa proses rawatan.
"Keadaan ayahanda di luar daripada buku yang ditulis. Itu kuasa Allah,” kata anak Nik Aziz, Nik Abduh.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Dalam tulisannya di Facebook hari ini, Nik Abduh (kanan) berkata beliau gembira hari ini kerana ayahnya lebih berselera dan makan lebih banyak.
Dalam latihan rehabilitasi kali pertama pagi ini, bekas menteri besar Kelantan itu juga mampu duduk walaupun agak bersusah payah, katanya lagi.
“Doktor memberitahu bahawa keadaan ayahanda sudah stabil. Walau bagaimanapun ayahanda kelihatan agak keletihan. Menurut doktor, ia faktor tua dan kesan kanser yang dialaminya,” katanya.
Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir PAS juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan ahli politik veteran itu.
“Anda semua adalah kekuatan kami keluarga buat melalui saat ini,” katanya lagi.
Nik Aziz, 84, dimasukkan ke hospital di Kota Bharu minggu lepas kerana kesihatannya merosot.
Beliau juga menghidap kanser prostat.
No comments:
Post a Comment