Saturday, 17 January 2015
Kalau Rosmah Boleh Dakap Chong Wei, Apakah Najib Juga Boleh Peluk Nicol David? - Shahbudin Husin
Semakin panas nampaknya isu Dato Lin Chow Wei dipeluk Isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansur ini dengan pelbagai pihak menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing.
Semalam (15/1/2015), Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar tindakan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin yang menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat tindakan Datin Seri Rosmah Mansor memeluk pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Hari ini, bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu, Shahbudin Husin, yang telah dikritik semalam oleh Syed Ali telah tampil menjawab dan menyanggah tindakan Ketua UMNO Bahagian Cheras tersebut yang mempertahankan tindakan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang memeluk jaguh badminton negara, Lee Chong Wei.
Semalam Syed Ali menyifatkan pelukan itu sebagai suatu penghargaan seorang ibu kepada anaknya yang berjaya meraih kemenangan dalam sukan.
Berikut adalah jawapan yang telah ditulis oleh Shahbudin Husin melalui blog beliau:-
________________________
Kalau Rosmah Boleh Dakap Chong Wei, Apakah Najib Juga Boleh Peluk Nicol David?
Saya terpanggil untuk menjawab tulisan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang mempertahankan tindakan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang memeluk jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dengan menyifatkan pelukan itu sebagai suatu penghargaan seorang ibu kepada anaknya yang berjaya meraih kemenangan dalam sukan.
Dalam tulisan di blognya, Syed Ali secara khusus menyelar dan menyebut nama saya dengan menyifatkan tindakan Rosmah memeluk Lee Chong Wei tidak sama dengan perbuatan tiga gadis yang bercium dengan artis K-Pop Korea Selatan.
Katanya lagi, "bagi saya tidak salah bagi isteri Perdana Menteri yang menganggap dirinya ibu memeluk Lee Chong Wei kerana mengiktiraf dan amat menghargai kejayaan yang dicapai oleh pemain badminton yang berjaya mengharumkan nama negara."
Jika diamati tulisan saya semalam, bukan saja perbuatan berpeluk yang dilakukan Rosmah saja yang saya pertikaikan, bahkan juga bercium dengan artis. Dalam gambar yang saya sertakan pula, ia jelas Rosmah sedang bergesel pipi dengan artis Bollywood, Arjun Rampal.
Apabila Syed Ali mengatakan tidak salah perbuatan Rosmah itu, saya harap ianya tidak bemaksud beliau ingin menukar hukum bersentuhan antara lelaki dan wanita muhrim daripada haram kepada tidak haram.
Diharapkan juga Syed Ali tidak bermaksudkan bahawa oleh kerana Rosmah adalah isteri Perdana Menteri, maka beliau mempunyai keistimewaan tertentu dari segi hukum dan dibenarkan berpeluk dengan sesiapa saja.
Selain itu, kenapa hanya Rosmah berpeluk dengan Chong Wei saja diumpamakan pelukan ibu dengan anak, kenapa dengan Arjun Rampal juga tidak dikatakan geselan pipi antara ibu dengan anak? Begitu juga dengan Shahrukh Khan yang gambarnya turut tersebar di media sebelum ini?
Ternampak seolah-olah Syed Ali mempunyai agenda tertentu dalam membela isteri Perdana Menteri dan cuba menyembunyikan perbuatan salah Rosmah yang lain.
Sebagai seorang yang lebih dewasa dan berketurunan Nabi pula, Syed Ali juga seharusnya lebih arif hukum halal haram bersentuhan antara lelaki dengan wanita yang bukan muhrim dan tidak menjadikannya"tidak mengapa" semata-mata kerana ia dilakukan oleh isteri Perdana Menteri.
Bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim tetap haram, lebih-lebih lagi ketika dipeluk oleh Rosmah itu Chong Wei bukannya kanak-kanak lagi, tetapi sudah menjangkau usia 30an, suatu tahap usia yang seharusnya sudah akil baligh dan boleh membenihkan zuriat.
Tidak timbul tindakan Rosmah itu umpama ibu dengan anak kerana ianya bukan dilakukan terhadap Chong Wei saja tetapi juga kepada Arjun Rampal dan Shahrukh Khan sama.
Tetapi bila berhadapan dengan ahli sukan wanita atau artis wanita, tidak pernah pula terlihat keghairahan Rosmah untuk berpeluk dan bergesel pipi dengan mereka?
Dalam masa yang sama, menepis tindakan membesar-besarkan perbuatan Rosmah bergesel pipi dengan artis Hollywood sebagai tidak bertanggungjawab dan menghina institusi Perdana Menteri, sekali lagi menunjukkan Syed Ali tersasar dan seolah-olah sedang meraba-raba hujah pembelaannnya.
Persoalannya, siapakah yang menghina institusi Perdana Menteri, adakah ianya mereka yang mengajak Rosmah menjauhi perbuatan yang ditegah agama atau mereka yang menggalak dan menyokong perbuatan salah Rosmah secara membuta tuli?
Kalau mengikut logik Syed Ali yang mengatakan tidak salah Rosmah memeluk Chong Wei atau dalam ertikata sebenar mendakap muka ahli sukan itu ke dadanya, atas alasan ia umpama pelukan ibu dengan anak, apakah dibolehkan juga Najib memeluk bintang-bintang sukan wanita yang mencapai kejayaan gemilang seperti Nicol David misalnya?
Bukankah gadis-gadis remaja itu umpama anak juga kepada Perdana Menteri?
Bagi saya, tulisan Syed Ali hanya semata-mata untuk mempertahan dan membela Rosmah tanpa melihat keseluruhan fakta yang saya tulis. Selain berkaitan dengan perlakuan Rosmah, saya juga turut menyentuh perbuatan maksiat lain yang lebih terbuka seperti perlakuan artis di televisyen, maksiat di pusat-pusat hiburan dan sebagainya.
Apa yang saya bangkitkan ialah sikap Jawi atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang seolah-olah hanya melihat perkara remeh tetapi mengabaikan maksiat lain yang lebih besar dan terbuka.
Ketegasan saya adalah jelas, jika ingin mengambil tindakan terhadap remaja yang berpeluk dengan artis K-Pop itu, ambillah juga tindakan terhadap semua maksiat lain, termasuk Rosmah yang turut melakukan perkara sama, malah buktinya bertebaran di sana sini.
Dalam hal ini, siapa pun akan melihat Jawi sebagai tidak tegas dan berpilih-pilih dalam tindakannya. Saya bukannya membela dan mempertahankan perbuatan gadis-gadis remaja itu, tetapi lagak Jawi dengan ungkapan mahu mengeluarkan waran tangkap menunjukkan ianya berlebih-lebihan dan hanya inginkan publisiti murahan saja.
Jika betul Jawi benar-benar berani, tidak pilih bulu dan "sudah bersunat", ambillah tindakan secara sama rata?-shahbudindotcom
_____________________________
Nampaknya ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan Syed Ali Alhabshee tersebut kerana mereka mengatakan tindakan tersebut tetap melanggar batasan agama Islam dan menyifatkan tindakan Syed Ali itu sebagai menegakkan benang yang basah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment