Saturday, 31 January 2015

Keceluparan bawa padah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana...

Keceluparan bawa padah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana...



PEPATAH 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana', mungkin sesuai digunakan untuk menterjemahkan filem terbaharu Showbiz Productions.

Filem yang mengangkat kisah mengenai pasukan penyiasat paranormal ini membawa penonton ke satu perspektif berbeza apabila pasukan penyiasat yang dikenali dengan nama Puaka X ini, bersikap biadab sepanjang melakukan penyiasatan mereka.

Kumpulan ini dikatakan gemar mengunjungi tempat atau lokasi dikatakan berpuaka setelah berlaku sesuatu tragedi yang melibatkan kematian atau kawasan telah lama ditinggalkan.

Antara tempat yang sering menerima kunjungan kumpulan-kumpulan penyiasat paranormal adalah seperti Balai Gombak, Highland Towers, Villa Nabila, Apartment Riviera II, Taman Rekreasi Mimaland di Gombak dan banyak lagi.

Namun berbeza dengan kumpulan Puaka X yang dianggotai oleh Hazwan Asari sebagai Amar, Farhaziq Ab Manaf sebagai Rizal dan Shukri Tahir sebagai Dani yang sering menimbulkan kontroversi dan menerjah lokasi-lokasi yang terang-terangan dikatakan 'keras' dan kemudian berkongsi di laman sesawang.

Mereka melakukan apa sahaja yang melanggar pantang larang dan kemudiannya membuat kenyataan mereka di Facebook rasmi mereka Puaka X.

“Kasi redah!” merupakan tagline utama kumpulan Puaka X yang sering menyahut cabaran daripada kumpulan-kumpulan penyiasat paranormal lain untuk menyiasat lokasi-lokasi yang paling 'keras' di Malaysia.

Namun sikap mereka yang sering mempertikaikan kewujudan makhluk halus yakin makhluk tersebut tidak wujud akhirnya membawa padah setelah mereka melakukan penyiasatan di balai polis yang terbiar di Gombak.

Menggunakan konsep Mockumentary seperti Blair Witch Project dan Catfish, filem Puaka Balai Gombak menampilkan kelainan dalam industri perfileman tempatan dengan mengaburi sempadan realiti dan fiksyen; dunia sebenar dan dunia lakonan; alam maya dan alam nyata.

Konsep yang diketengahkan ini secara tidak langsung meningkatkan keterujaan penonton menghayati filem ini dengan menghidupkan emosi dan penghayatan cerita semi-realiti ini.

Malah penulis sendiri mengakui syot dan perjalanan cerita di kawasan-kawasan berhantu berjaya membuatkan sesetengah penonton terkejut dengan kemunculan entiti yang tidak dapat dilihat dengan jelas dan juga muncul secara tiba-tiba.

Namun satu perkara yang penulis kurang selesa mengenai filem ini adalah penggunaan dialog yang agak kasar, biarpun pengarah menjelaskan ia adalah cara generasi Gen Y bercakap kini.

Bagaimanapun jika ingin ditonton oleh seisi keluarga, penulis rasakan ia tidak bersesuaian. Apatah lagi sekiranya ada anak kecil atau kanak-kanak bersama mereka.


Taruhan pelakon baharu

Dari segi lakonan pula, keputusan penerbit memilih pelakon baharu dan belum dikenali dilihat sebagai keputusan berani.

Apatah lagi, ketiga-tiga mereka tidak dikenali oleh penonton. Dalam satu sudut, penonton berpeluang menonton filem yang lebih segar dengan muka baharu.

Ia secara tidak langsung membuatkan penonton percaya mereka adalah kumpulan penyiasat paranormal yang sebenar.

Namun keseluruhannya, ada ketikanya mereka tampak kaku. Bagaimanapun ia boleh dimaafkan memandangkan ini adalah filem pertama mereka.

Justeru, adakah Amar, Rizal dan Dani berjaya merakamkan sebarang aktiviti paranormal di Balai Polis lama di Gombak yang kini menjadi urban legend?

Sertai penyiasatan Puaka X menerusi filem Puaka Balai Gombak yang sudah berada di pawagam sejak 29 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment