Wednesday, 4 February 2015

Lelaki Harapan Dunia: Terlihat Sedap, Dirasa Kelat!


Filem: Lelaki Harapan Dunia (Man Who Save The World)

Genre: Komedi / Drama

Tarikh Tayangan: 27 November 2014

Bahasa: Bahasa Melayu

Pengedar: GSC MOVIES

Pengarah: Liew Seng Tat

Pelakon: Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, Azhan Rani

Imbasan Awal

Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung.

Ulasan

Sebuah komedi gelap berbentuk sinikal dengan mengurangkan gaya slapstik dan situasi dikukuhkan dengan sindiran politik dikalangan orang Melayu yang cukup berbekas. Penghuraian secara berlapis-lapis tetapi tidak dinafikan ia juga harus dipuji, walaupun tidak semuanya dikawal sehingga akhir adegan.

Berakhir tanpa sebarang penutup yang menggembirakan atau menghabiskan cerita yang telah dipertontonkan, humor yang ditampilkan oleh Liew Seng Tat bukan jenaka kosong.



Garapan yang bersahaja tetapi ia nyata mempunyai senjata yang berjaya mencuit panas hati penonton yang rata-rata didapati mempunya reaksi yang pelbagai dan tidak kurang juga yang tampil dengan pendirian masing-masing menafsir filem arahan Seng Tat ini.

Pada mulanya saya akui ia sedikit sebanyak membawa emosi saya berkata bahawa filem ini dibuat untuk menunjukkan kelemahan orang di kampung yang semuanya terdiri daripada pelakon Melayu dan menggambarkan komuniti Melayu.

Namun tidak dapat dinafikan kebenarannya disitu dan sindiran itu lebih baik jika diambil sebagai satu langkah untuk anjakan paradigma kita agar lebih berdaya saing. Jangan melihat kepada siapa pengarahnya atau untuk apa filem ini dibuat.



Persoalannya kini adalah bagaimana penonton menerima mesej sinis yang dilontarkan Seng Tat terhadap masyarakat yang masih belum dapat mengeluarkan diri daripada kepompong selesa mereka?

Mungkin juga ada yang mahu berterima kasih kepada pengarah berani ini kerana membawakan satu juadah baru yang terlihat sedap namun bila dimakan terasa kelatnya.

Tetapi kehidupan harus diteruskan. Jika yang positif ambil ini sebagai peringatan agar merasa sedikit terkesan dek keberanian sesetengah pihak bermain dengan isu ini, untuk kebaikan kita yang kian lupa. Tepuk dada tanya diri kita, ya khususnya kepada mereka yang paling terasa!

Sinopsis

Seorang bekas penyanyi professional,Pak Awang (Wan Hanafi Su) mahu menghadiahkan sebuah rumah kepada anak perempuannya yang akan berkahwin.Akan tetapi, rumah tersebut terletak jauh di dalam hutan.

Menyedari kelemahan tersebut, Pak Awang meminta bantuan seorang konsultan dan ustaz (Jalil Hamid)serta rakannya,Megat (Harun Salim Bachik) untuk mengumpulkan penduduk kampung agar membantunnya memindahkan rumah itu ke bandar.

Rumah tersebut yang dipanggil "Rumah Amerika," kerana dicat putih seperti White House, mempunyai reputasi sebagai sebuah rumah yang dihantui, di mana perkara ini menyebabkan pembantu Pak Awang takut, walaupun mereka dengan berat hati bersetuju untuk tugas memindahkan rumah ini pada siang hari.

Di Kuala Lumpur, seorang pendatang Afrika,Solomon (Khalid Mboyelwa Hussein) telah ditangkap oleh pihak tentera ketika dia menjual tali pinggang dan jam tangan.Setelah diheret ke dalam trak, dia melarikan diri ke dalam hutan di mana dia menjumpai Rumah Amerika tersebut dan berlindung di situ.

Wan (Soffi Jikan) ternampak Solomon di dalam rumah dan berfikir dia ternampak orang minyak. Semua orang menjadi yakin bahawa tempat itu dihantui oleh orang minyak dan bomoh (Hishamuddin Rais) menasihati mereka untuk menyerang. Mereka berdandan sebagai wanita untuk menarik orang minyak tersebut, namun tidak berjaya. Hal ini membuatkan penduduk kampung memikirkan orang minyak itu gay, menambahkan lagi semangat penduduk kampung untuk membunuh orang minyak tersebut.

No comments:

Post a Comment