Friday, 6 February 2015

Elak Budaya Hedonisme, NGO Kempen Tolak Konsert Taeyang


Sebuah NGO Islam bimbang dengan kedatangan seorang lagi artis K-Pop ke Malaysia yang didakwa akan menyebabkan budaya “hedonisme” menular di kalangan anak muda negara ini.

Oleh itu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mendesak agar kerajaan menyekat persembahan artis tersebut, Tae Yang.

Presidennya, Ibrahim Mohd Hassan berkata, NGO bawah naungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu telahpun menggerakkan kempen dalam talian bagi tujuan itu.

"Kita tidak mahu anasir itu mempungaruhi minda anak muda, mahu hiburan berlebihan sehingga melahirkan masyarakat yang hanya mementingkan hiburan dan berada dalam zon selesa.

"Kita tidak menghalang untuk berhibur. Budaya K-pop juga bukan satu budaya di Korea yang mementingkan sopan santun dan perasaan malu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menurut lagi, kempen melalui media sosial itu bertujuan untuk membentuk kesedaran mengenai keburukan hiburan melampau di kalangan rakyat khususnya anak muda.

Katanya, PEMBINA kini kesuntukan masa kerana konsert itu diadakan hanya dalam masa beberapa hari lagi.


Namun, usaha itu akan diteruskan demi kepentingan jangka masa panjang agar ia tidak berulang lagi, kata Ibrahim.

'Ramai yang bantah'

Beliau turut membangkitkan mengenai kontroversi melibatkan kumpulan remaja yang dipeluk oleh para penyanyi K-Pop dalam kejadian bulan lalu.

Ibrahim mendakwa, ramai kalangan NGO yang menolak tindakan sedemikian.

"Kita tidak bergabung dengan NGO yang lain. Tetapi berdasarkan maklum balas daripada isu tiga remaja bertudung dipeluk artis K-Pop sebelum ini, majoriti (rakyat dan NGO) menolak mereka," katanya.

Tambahnya, PEMBINA akan menghantar notis bantahan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung konsert berkenaan.

Konsert pada hujung minggu ini merupakan kunjungan sulungnya ke Malaysia selepas menjelajah enam bandar di Jepun dengan menarik kehadiran 70,000 penonton.

Album solo keduanya bertajuk 'Rise' mengungguli carta muzik di seluruh dunia melalui lagu 'Eyes, Nose, Lips' yang mencetus fenomena di Korea.

Lagu tersebut tersenarai di tangga teratas di carta karaoke negara itu selama sembilan minggu berturut-turut.

No comments:

Post a Comment