Wednesday, 4 February 2015

Indah Ruhaila Penyanyi Underdog Semakin Digilai



KUALA LUMPUR 3 FEB 2015: Penyanyi dan bintang AF 2014 Indah Ruhaila nyata terkejut dengan penerimaan orang ramai sejak kebelakangan ini dan sering menjadi perhatian umum.

Walaupun telah bergelar artis rakaman sewaktu ketika dahulu, namun populariti kian melonjak setelah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu 29 baru-baru ini.

“Alhamdulilah, berkat kesabaran saya selama ini berbaloi, bagi saya untuk menjadi penyanyi tak boleh putus asa dan sentiasa bekerja keras demi minat dan keinginan yang ingin dicapai.

“Menjadi finalis untuk AJL adalah bonus buat saya, tak menyangka impaknya sangat besar kepada kerjaya saya sebagai seorang penyanyi walaupun tidak menjulang apa-apa piala kemenangan,” kata Indah kepada portal Murai.com.my.

Indah Ruhaila yang dihubungi oleh Murai turut menjelaskan untuk mengekalkan momentum ini, dia harus mempunyai ‘material’ yang bagus seperti lagunya iaitu Percayalah.

“Kalau saya ingin terus diingati dan dikenali dalam industri ini, saya perlu ada lagu sebagus Percayalah, atau lebih bagus daripada lagu itu. Keunikan dan kualiti sesuatu lagu amat penting buat penyanyi untuk meletakkan namanya di tahap yang lebih baik serta bersaing secara sihat,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai komen Azmeer baru-baru ini mengenai vokal terbaik dalam AJL 29, Indah boleh menjulang piala itu sekiranya Dayang Nurfaizah tidak menjadi finalis.

“Saya hargai dan amat berbangga menerima komen yang positif daripada Azmeer, namun perjalanan karier saya masih jauh, nasihat yang diberikan oleh Azmeer akan dijadikan kayu pengukur kepada diri saya untuk tingkatkan lagi kualiti persembahan terutama vokal,” seloroh Indah.

Dalam perkembangan lain, Indah kini sedang sibuk menerima jemputan dan undangan nyanyian di majlis-majlis korporat serta pihak pengurusan Indah sedang mengenal pasti lagu yang sesuai untuk untuk dirakamkan selewat-lewatnya tahun ini.

No comments:

Post a Comment