Sunday, 15 February 2015
Perbuatan Raja Bomoh Sudah Jatuh Syirik Dan Perlu Ditangkap - Pendakwah Bebas
PETALING JAYA: "Tindakan ‘Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP’ ataupun nama sebenarnya Ibrahim Mat Zain yang melakukan upacara syirik di luar penjara Sungai Buloh baru-baru ini perlulah di ambil tindakan dengan menangkapnya," kata Pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah
Sebelum ini Ibrahim Mat Zain melakukan upacara tersebut selepas mendakwa ada ilmu hitam yang mahu membunuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam penjara dan perkara tersebut adalah syirik semata-mata.
“Saya ingat Raja Bomoh ini sudah syirik. Tangkap sahaja dia ini. Jabatan Agama Islam jangan ambil masa lebih lama untuk menangkap individu ini."
“Dia sudah lama bebas dan semakin lama dia dibiarkan begini, entah apa lagi perbuatan syirik yang akan dibuat…memalukan serta merosakkan akidah,” katanya dipetik dari Astro Awani.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video Ibrahim yang melakukan upacara syirik tersebut yang disebarkan di laman sosial dengan menunjukkn raja bomoh itu melakukan beberapa upacara.
Dalam rakaman yang berdurasi hampir tiga minit setengah itu menunjukkan gelagat Ibrahim telah menggunakan ‘teropong sakti’nya dan mengetuk dua biji kelapa selain dilihat beliau bermain golf di ruang letak kereta di luar pagar kompleks Penjara Sungai Buloh..
Ibrahim manjalankan upacara ditempat kemalangan Karpal Singh
Ia dikatakan ritual untuk memberi perlindungan kepada Anwar daripada serangan sihir dan hantu raya yang ingin membunuhnya di dalam penjara.
Md Daud menyeru agar Jabatan Agama Islam perlu memandang tegas tindakan ini dengan menangkap beliau seperti beberapa kes syirik agama sebelum ini.
“Jalankan tugas seperti yang dibuat kepada Ayah Pin atau Tuhan Haron, ia akan menutup kelemahan dan kepincangan agensi penguatkuasa agama yang mungkin diperkatakan masyarakat kerana lambat menahan Ibrahim."
“Kita ada 14 mufti dan semuanya harus sepakat untuk mengeluarkan arahan penangkapan Ibrahim seharusnya selepas menggemparkan negara kerana ritual mencari MH370 dahulu,” tegasnya.
Secara berseloroh Md Daud turut memberitahu, selepas ditangkap, Ibrahim dicadang dimasukkan ke dalam sel sama dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh.
“Dia boleh jaga Anwar sepanjang masa, buat ritual kelapa, teropong dan apa sahaja yang boleh untuk menjaga ‘kawan sebiliknya’.
“Saya tidak pernah lihat bomoh pakai tali leher seperti Ibrahim ini, agaknya Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pun boleh tertawa jika melihat Ibrahim ini,” jelasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment